Jumaat, 25 Februari 2011

Safee mula menyengat


SAFEE (kiri) mula melakar nama dengan Pelita Jaya apabila meledak dua gol pada aksi persahabatan, semalam.


PENYERANG kebangsaan Malaysia, Mohd. Safee Mohd. Sali mula mengukir nama di bumi Indonesia. Meskipun masih belum beraksi secara rasmi dalam saingan Liga Super Indonesia (ISL), namun dia mula memperlihatkan kualiti sebagai pemusnah di jentera serangan.

Semalam, Safee menjaringkan dua gol pada aksi persahabatan pertamanya bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya.

Pada pertemuan dengan kelab tempatan, Ragunan FC di padang latihan kelab di Sawangan, Jawa Barat itu, Pelita Jaya mencatat kemenangan besar 6-0 dengan kedua-dua gol Safee itu dijaringkan pada babak pertama.

“Sudah tentu perasaan saya sangat gembira kerana pada perlawanan pertama ini, saya sudah berjaya menjaringkan gol.

“Jaringan ini bagi saya penting kerana ia dapat menunjukkan yang saya mampu menggalas tugas sebagai penyerang kelab ini,” kata Safee ketika dihubungi Kosmo! di Jakarta petang semalam.

Namun aksi sulung Safee, 27, secara rasmi bersama Pelita Jaya ialah pada 5 Mac depan iaitu bertemu Sriwijaya FC di Stadium Singaperbangsa, Karawang untuk aksi pertama pusingan kedua saingan ISL 2011.

Menurut Safee, menjelang aksi tersebut, Pelita Jaya akan mengadakan satu lagi aksi persahabatan Ahad ini dan ia akan digunakan sepenuhnya untuk penyerang dari Paraguay, Juan Ramirez.

“Pada perlawanan tadi (semalam), saya digandingkan dengan Ramirez pada babak pertama sebelum kami berdua direhatkan untuk jurulatih mencuba pemain lain pada babak kedua.

“Persefahaman kami belum 100 peratus mantap tetapi menampakkan petanda yang baik. Komunikasi dengan rakan sepasukan lain tiada masalah, kecuali Ramirez kerana dia tidak boleh berbahasa Inggeris,” jelasnya.

Safee bagaimanapun tidak keseorangan di Jakarta kerana dia turut ditemani isteri dan dua anaknya, ibu dan ayahnya serta pengurus peribadinya, Zakaria Ab. Rahim sejak tiba pada 14 Februari lalu.


1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...